Siapakah Satoshi Nakamoto?

Pengenalan kepada pencipta Bitcoin
Satoshi Nakamoto ialah nama samaran pencipta di sebalik Bitcoin — projek mata wang kripto pertama yang berdaya maju secara global.
Tetapi, siapakah tokoh misteri ini yang memulakan revolusi mata wang kripto?
Persoalan ini bermain dalam fikiran ribuan orang sejak sedekad yang lalu, sejak tokoh yang tidak dikenali ini menerbitkan kertas putih Bitcoin yang terkenal pada 2008.
Dokumen 9 halaman itu mencetuskan kewujudan seluruh industri mata wang digital yang dilindungi secara kriptografi dan dikenali sebagai mata wang kripto. Dalam proses tersebut, Satoshi Nakamoto yang tidak dikenali meneroka sempadan kewangan yang baharu.
Seperti semua teka-teki hebat, usaha untuk mengenal pasti pencipta Bitcoin menelusuri beberapa suspek utama, petunjuk, dan jejak palsu.
Selama bertahun-tahun, penganalisis memeriksa dengan teliti semua aspek, dari gaya penulisan Nakamoto hingga aktiviti zon waktu beliau dalam usaha untuk mengecilkan kemungkinan lokasi individu atau kumpulan di sebalik nama itu. Tetapi setakat ini, tiada bukti mutlak pernah ditemui.
Di sebalik persoalan yang tidak berkesudahan, terdapat beberapa fakta yang tidak dapat disangkal yang kita ketahui tentang Nakamoto, seperti penguasaan beliau dalam kriptografi dan sains komputer. Walaupun sejumlah besar pengaturcara komputer terkemuka gagal menghasilkan mata wang kripto yang berfungsi, Nakamoto berjaya menemui penyelesaian kepada masalah tersebut.
Apabila beliau melancarkan protokol Bitcoin pada 2009, dunia diperkenalkan dengan sistem wang elektronik tanpa sempadan dan terdesentralisasi yang pertama. Sistem ini berfungsi dengan cara perangkai padan (peer-to-peer) sepenuhnya tanpa bergantung kepada perantara yang dipercayai.
Peristiwa itu menjadi momen penting dalam sejarah, dan ia lebih mengesankan kerana faktor ketanpanamaan Nakamoto dan kehilangan beliau daripada khalayak umum.

Siapa itu Cypherpunks?
Ramai mengaitkan Satoshi Nakamoto dengan gerakan Cypherpunk.
Cypherpunks secara amnya ditakrifkan sebagai individu yang menyokong penggunaan kriptografi untuk meningkatkan privasi dalam kehidupan seharian kita.
Ramai saintis komputer dan pengaturcara terkemuka dunia tergolong dalam kumpulan ini, termasuk Satoshi Nakamoto dan Hal Finney.
Ahli lain yang terkenal termasuk:
- Adam Back: CEO semasa Blockstream dan pencipta Hashcash. Hashcash adalah salah satu projek mata wang kripto awal yang mendahului Bitcoin, dan merupakan yang pertama seumpamanya yang menggabungkan sistem berasaskan bukti kerja.
- Nick Szabo: Pencipta BitGold, satu lagi pendahulu kepada Bitcoin yang dicipta pada akhir 90-an. Seperti Hashcash, BitGold menghasilkan banyak ciri yang kemudiannya dimasukkan oleh Nakamoto dalam protokol Bitcoin, termasuk blok yang dicap waktu dan perlombongan berasaskan hash kriptografi. Szabo juga merupakan orang pertama yang mencipta istilah “kontrak pintar” pada 1994.
- Wei Dai: Lelaki di sebalik B-money, satu projek mata wang kripto bersifat teori yang merupakan antara sistem mata wang terdesentralisasi yang pertama pernah dicadangkan.
Gerakan Cypherpunk memberi tumpuan kepada privasi berdaulat kendiri dan penghapusan aspek pengawasan kerajaan secara menyeluruh.
Sifat tanpa nama, terdesentralisasi, dan perangkai padan rangkaian mata wang kripto berasal daripada kepercayaan teras ini.
Penciptaan Bitcoin
Pada hari-hari awal Bitcoin, kebanyakan perbincangan antara Nakamoto dan kriptografer lain yang berminat berlaku di senarai e-mel yang dihoskan oleh Metzdowd.com.
Dalam thread tersebut, Nakamoto menyebut bahawa beliau mula menulis kod protokol sekitar 2007, setahun sebelum penerbitan kertas putih Bitcoin.
Pada Ogos 2008, Nakamoto membeli domain laman web bitcoin.org. Beberapa sumber menyatakan bahawa Martti Malmi, seorang lagi pemaju, juga terlibat dalam proses ini. Namun, Malmi sejak itu menafikan dakwaan ini secara terbuka di Twitter.
Pada 3 Januari 2009, Nakamoto mengaktifkan protokol Bitcoin dengan melombong blok genesis. Blok ini menjadi yang pertama dalam rantaian blok Bitcoin. Bagi menandakan acara tersebut, Nakamoto menyematkan tajuk dari keluaran akhbar The Times pada hari itu.
"The Times 03/Jan/2009 Canselor hampir melakukan jaminan kedua untuk bank."
Kemunculan Bitcoin berlaku selepas krisis kewangan 2008. Pada masa itu kemelesetan gadai janji subprima di Amerika Syarikat menyebabkan kekacauan dalam seluruh ekonomi global, menyebabkan kerosakan yang tidak terkira kepada kehidupan ramai orang.
Banyak penyokong awal Bitcoin menyertai projek ini dengan segera, termasuk Gavin Andresen dan mendiang Hal Finney.
Finney adalah salah seorang pemikir terkemuka dalam bidang sains komputer pada masa itu, diiktiraf kerana membangunkan mekanisme konsensus bukti kerja yang boleh digunakan semula. Ciri ini kemudian menjadi komponen utama dalam infrastruktur terdesentralisasi Bitcoin.
Selepas pelancarannya, Nakamoto terus memperhalusi protokol Bitcoin selama tiga tahun berikutnya. 23 April 2011, merupakan tarikh surat-menyurat Nakamoto yang terakhir secara dalam talian.
Dalam e-mel kepada rakan pemaju Bitcoin Mike Hearn, Nakamoto menulis,
"Saya telah beralih kepada perkara lain. Semuanya selamat di tangan Gavin [Andresen] dan semua orang."
Mesej baharu dari akaun rasmi Satoshi Nakamoto muncul beberapa tahun selepas e-mel ini, walaupun ramai percaya penggodam mendapat akses kepada profil tersebut.
Khabar angin berkaitan Satoshi Nakamoto
Menurut profil P2P Foundation Satoshi Nakamoto, beliau ialah seorang lelaki Jepun berusia 48 tahun (pada 2023). Namun, sesetengah pihak sahaja menganggap maklumat ini tepat dan boleh dipercayai.
Maklumat lain, seperti ejaan nama dan keputusan untuk menyertakan tajuk akhbar British dalam blok genesis Bitcoin, menyebabkan ramai percaya Nakamoto mungkin berasal dari United Kingdom.
Analisis terkini mengenai aktiviti dalam talian Satoshi nampaknya menyokong teori ini. Analisis tersebut mencadangkan bahawa Nakamoto mungkin tinggal di London semasa membangunkan Bitcoin. Penyelidikan tersebut membuat kesimpulan itu selepas meneliti 34 e-mel, 539 hantaran forum Bitcointalk, 169 kod Sourceforge, dan maklumat penting lain yang diterbitkan oleh Nakamoto.
Pada 2011, seorang wartawan penyiasat mendedahkan bahawa tiga orang lelaki bertanggungjawab memfailkan permohonan paten mengenai aktiviti "Mengemas kini dan Mengedarkan Kunci Penyulitan," sebagai kemungkinan kumpulan di sebalik nama Satoshi Nakamoto.
Paten itu bukan sahaja difailkan hanya beberapa bulan sebelum Nakamoto menerbitkan kertas putih Bitcoin, tetapi paten itu juga mengandungi frasa "tidak praktikal secara pengiraan untuk dibalikkan" — frasa sama yang kemudiannya muncul dalam kertas putih berkenaan.
Pencipta paten, Neal King, Vladimir Oksman, dan Charles Bry, secara sebulat suara menafikan dakwaan bahawa mereka ialah Satoshi Nakamoto.
Khabar angin menarik lain termasuklah Illuminati, CIA, dan CEO SpaceX yang kaya, Elon Musk sebagai suspek lain di sebalik Bitcoin.
Suspek utama lain
Petunjuk yang mengarah kepada Hal Finney (pencipta bukti kerja) dan Nick Szabo (orang pertama yang mencadangkan kontrak pintar), terus mengaitkan kedua-dua Cypherpunks ini sebagai individu di sebalik Bitcoin.
Menariknya, Finney ialah orang pertama yang menerima transaksi bitcoin dari Nakamoto, dan kemudian didapati tinggal di bandar yang sama dengan seorang lelaki bernama Dorian Satoshi Nakamoto.
Sebelum Finney meninggal dunia pada 2014, dia juga berkongsi satu siri e-mel peribadi antara dirinya dan Nakamoto dengan The Wall Street Journal.
Atas sebab yang tidak diketahui, banyak e-mel didapati tidak mempunyai data header. Selain itu, penganalisis mendapati pelayan Finney tmerekodkan penerimaan surat-menyurat e-mel daripada Nakamoto, sebelum pelayan Nakamoto menghantarnya.
Bukti ini mencadangkan bahawa emel Hal Finney dan Nakamoto mungkin disambungkan pada akaun yang sama.
Adakah mungkin mesej-mesej itu datang dari orang yang sama dan hanya dimaksudkan sebagai pengalihan perhatian? Kita tidak tahu.
Sementara itu, bukti yang paling menarik yang mungkin menghala kepada Nick Szabo datang dari salah satu e-mel yang disebutkan antara Hal Finney dan Nakamoto.
Di dalam e-mel itu, Satoshi bercakap tentang alamat dompet awam bitcoin dan parap nama mereka yang terkandung dalam rantaian kod alfanumerik yang diberikan secara rawak,
"Saya baru terfikir sesuatu. Akhirnya nanti akan timbul minat untuk melakukan pengimbasan secara daya keras terhadap alamat bitcoin bagi mencari satu alamat yang beberapa aksara awalnya disesuaikan dengan nama anda, seumpama mendapatkan nombor telefon yang membentuk sesuatu perkataan. Secara kebetulan saya mempunyai parap saya."
Alamat yang dipersoalkan - 1NSwywA5Dvuyw89sfs3oLPvLiDNGf48cPD
NS = Nick Szabo.
Sudah tentu, jika anda percaya bahawa Hal Finney ialah Satoshi Nakamoto, maka berkemungkinan besar hal ini satu lagi percubaan untuk mengalihkan perhatian daripada Hal Finney kepada Nick Szabo.
Berapa kaya Satoshi Nakamoto?
Walaupun jumlah sebenar bitcoin yang dilombong oleh Nakamoto sebelum beliau meninggalkan rangkaian mustahil untuk diketahui dengan tepat, jumlah tersebut dianggarkan antara 800,000 hingga 1,100,000 BTC.
Pada harga bitcoin hari ini, harta ini menjadikan Nakamoto antara salah seorang yang terkaya di dunia.
Jika anda tidak mempunyai dana yang tersedia untuk mengumpul bitcoin sebanyak Satoshi Nakamoto, jangan risau! Ingat, sama seperti setiap dolar terdiri daripada 100 sen, setiap unit bitcoin boleh dibahagikan kepada berjuta-juta unit yang lebih kecil yang dipanggil satoshi.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang satoshi, lihat Penukar Satoshi ke USD kami untuk melihat harga semasa satoshi ke USD atau lihat berapa nilai satoshi bitcoin anda.
Mereka yang mengaku sendiri
Seperti mana-mana ciptaan hebat yang tiada pencipta, tidak lama kemudian ramai individu tampil mendakwa diri mereka sebagai Satoshi Nakamoto.
Walaupun Nakamoto berusaha keras untuk menyembunyikan identiti sebenar beliau, puluhan individu tampil sejak bertahun-tahun dan mendakwa merekalah tokoh di sebalik Bitcoin.
Tanpa mengikut susunan tertentu, antara individu yang tampil mengaku sebagai Satoshi Nakamoto termasuk:
- Jörg Molt: Seorang bekas DJ dari Jerman yang ditangkap pada 2021 kerana penipuan.
- Craig Steven Wright: Seorang ahli sains komputer Australia yang terlibat dalam beberapa pertikaian undang-undang yang panjang dan berprofil tinggi mengenai dakwaannya terhadap takhta Bitcoin.
- James Bilal Caan: Seorang pekerja NHS di England yang menerbitkan siri blog tiga bahagian yang memperincikan asal-usul individu yang didakwa sebagai Satoshi Nakamoto. Semua catatan blog telah dipadamkan sejak itu.
- Debo Jurgen Etienne Guido: Seorang lelaki Belgium yang dikenali dengan nama Twitter @realsatoshin. Guido dilaporkan menghantar keterangan bertulis tangan kepada mahkamah Daerah Selatan Florida yang mengendalikan salah satu tuntutan mahkamah Craig Wright yang mendakwa dia Satoshi yang sebenar. Bukan Craig Wright.
- Phil Wilson: Seorang lelaki yang mendakwa membangunkan Bitcoin bersama Craig Wright dan Dave Kleiman (bekas rakan kongsi perniagaan Wright). Wright terus menafikan dakwaan Wilson dan menyifatkan dakwaan itu sebagai penipuan.
Di sebalik semua dakwaan ini adalah fakta bahawa tiada seorang pun daripada mereka dapat memberikan bukti untuk menyokong dakwaan mereka.
Cara paling mudah, pantas dan paling tidak dapat disangkal sejak sekian lama untuk membuktikan seseorang itu ialah Satoshi Nakamoto adalah dengan menandatangani mesej secara digital menggunakan kunci peribadi yang dikaitkan dengan blok genesis. Sebagai alternatif, individu berkenaan boleh memindahkan mana-mana 50 BTC yang diterima daripada perlombongan blok genesis. Tindakan sedemikian akan membuktikan bahawa mereka memegang kunci peribadi Nakamoto, sesuatu yang secara semula hanya beliau sahaja akan miliki.
Kita terus menunggu untuk peristiwa ini berlaku.
Pentingnya Satoshi Nakamoto
Walaupun soalan tentang siapa Satoshi Nakamoto yang sebenar mungkin tetap tidak terjawab, legasi yang berterusan dari ciptaan mereka tidak dapat dinafikan.
Bitcoin mengubah ekonomi, mencabar sistem kewangan tradisional, dan memulakan perbincangan tentang desentralisasi, privasi, dan sifat nilai itu sendiri.
Sama ada identiti sebenar Satoshi akan terungkap atau kekal dalam misteri tanpa nama, kepintaran beliau meninggalkan kesan yang tidak dapat dipadamkan dalam rekod sejarah.
Setelah anda mengetahui serba sedikit sedikit tentang pencipta Bitcoin, dan cerita di sebalik misteri identiti beliau, adakah anda bersedia untuk mengambil langkah seterusnya?
Daftar dengan Kraken dan mula membeli bitcoin hari ini.