Apakah teknologi rantaian blok?

Oleh Kraken Learn team
12 min
5 Dis 2024

Pengenalan kepada rantaian blok 📖

  • Rantaian blok ialah sistem pangkalan data terdesentralisasi yang menyimpan data dengan selamat di pelbagai lokasi dan kalis pengubahsuaian.
  • Berbeza daripada satu entiti tunggal yang mengawal pangkalan data, rantaian blok menggunakan rangkaian komputer terdesentralisasi (juga dikenali sebagai "nod") untuk membantu mengesahkan dan merekodkan transaksi.
  • Teknologi rantaian blok bukan hanya tentang mata wang kripto. Teknologi ini merevolusikan industri seperti kewangan, rantaian bekalan, penjagaan kesihatan dan banyak lagi.
  • Manfaat utama teknologi rantaian blok termasuk tahap keselamatan dan ketelusan yang dipertingkatkan, tahap kecekapan dan kos yang lebih baik dalam pelbagai industri, potensi untuk inovasi masa depan, dan akses global.

Penerangan tentang rantaian blok 🔍

Teknologi rantaian blok ialah sistem terdesentralisasi dan selamat yang menyimpan data yang tidak boleh diubah suai dan disahkan oleh rangkaian komputer. 

Setiap blok dalam rantaian blok mempunyai pengenalan uniknya sendiri dan dihubungkan secara kriptografi dengan blok seterusnya, menjadikan pengubahsuaian blok yang telah disahkan hampir mustahil.

Pengenalan unik ini membantu usaha menjamin integriti maklumat yang disimpan dalam pangkalan data atau lejar. Sumber perlombongan atau pertaruhan yang digabungkan yang memberi kuasa kepada setiap rangkaian menjadikan mata wang kripto lebih berdaya tahan terhadap serangan — menawarkan tahap keselamatan data yang lebih tinggi.

Tahap keselamatan yang dipertingkatkan ialah faktor penting dalam kaedah teknologi rantaian blok membina kepercayaan dalam kalangan pengguna teknologi itu. Hal ini terutamanya jelas dalam industri kripto dan sektor-sektor berkaitan seperti kewangan terdesentralisasi (DeFi), kontrak pintar, dan token tidak sepiawai (NFT), apabila rantaian blok bertindak sebagai infrastruktur teras.

Sebelum memahami lebih mendalam tentang teknologi di sebalik sektor ini, ciri-ciri utama rantaian blok perlu difahami.

Pada asasnya, teknologi rantaian blok bersifat… 

  • Boleh diaudit: Data yang disimpan di rantaian blok boleh dijejaki dan disahkan dengan mudah.
  • Teragih: Rantaian blok lazimnya cuba untuk kekal di luar kawalan entiti tunggal. Rantaian blok lazimnya diuruskan secara kolektif oleh sekumpulan sukarelawan yang ramai.
  • Tidak berubah: Setelah transaksi direkodkan dalam lejar, ia tidak boleh diubah (atau jika ia diubah, ia mesti dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 51% nod).

Jenis teknologi rantaian blok 📝

Walaupun setiap jenis rantaian blok beroperasi menggunakan rangkaian komputer, terdapat pelbagai jenis rantaian blok untuk industri dan aplikasi yang berbeza. Berikut ialah empat jenis teknologi rantaian blok utama dengan kegunaan unik bergantung kepada pembinaan dan kebenaran teknologi tersebut. 

  • Rantaian blok awam: Rantaian blok awam ialah jenis rantaian blok yang paling mudah diakses, menawarkan lejar digital terdesentralisasi dan sesiapa sahaja boleh melakukan transaksi. Perkara ini juga kadang-kala dirujuk sebagai rantaian blok tanpa kebenaran. 
  • Rantaian blok persendirian: Rantaian blok persendirian dikawal oleh entiti atau organisasi tunggal. Jenis rantaian blok ini sering digunakan untuk aplikasi perusahaan dan boleh dirujuk sebagai rantaian blok dengan kebenaran.
  • Rantaian blok hibrid: Seperti namanya, rantaian blok hibrid menggabungkan elemen rantaian blok awam dan persendirian. Hal ini bermasud sesetengah bahagian rangkaian mungkin bersifat awam sementara bahagian yang lain bersifat persendirian.
  • Rantaian blok konsortium: Rantaian blok konsortium ialah sejenis rantaian blok persendirian yang dikongsi oleh sekumpulan organisasi. Organisasi-organisasi ini bekerjasama untuk mengesahkan transaksi dan mengekalkan rangkaian.

Bagaimana rantaian blok berfungsi? ⚙️

Bayangkan rantaian blok sebagai blok maya yang dipenuhi data dan dihubungkan secara kriptografi, lalu membentuk rantaian digital yang boleh dijejaki. Komputer yang membantu mengemas kini, mengurus dan mengesahkan maklumat dalam rantaian blok dikenali sebagai “nod.” 

Apabila seseorang memulakan transaksi rantaian blok, ia disiarkan kepada seluruh rangkaian rantaian blok. Setiap nod kemudian mengesahkan transaksi untuk memastikan pengirim mempunyai dana yang mencukupi dan tidak cuba menipu dengan membelanjakan transaksi yang sama sebanyak dua kali.

Setelah disahkan, transaksi ditambahkan ke dalam blok baharu, yang kemudian disahkan ke dalam lejar rantaian blok, mencipta rekod kronologi transaksi.

A graphic highlights how blockchain transactions work at a high level

Oleh kerana rantaian blok dapat mengekalkan konsensus di antara komputer teragih menggunakan mekanisme khusus, rantaian blok tidak memerlukan pengawasan pusat seperti lejar tradisional. Perkara inilah yang menjadikan rantaian blok bersifat terdesentralisasi. 

Pembangun memprogram protokol rantaian blok, yang lazimnya memberikan insentif kewangan secara automatik kepada mereka yang mengikut peraturan dan mengenakan penalti kepada mereka yang tidak. Penggunaan insentif secara programatik ini membolehkan rantaian blok beroperasi tanpa pengurusan manusia.

Elemen utama teknologi rantaian blok 🧱

Selain rangkaian nod yang terdesentralisasi, terdapat beberapa bahagian penting lain yang membentuk lejar rantaian blok.

Kriptografi

Hari ini, rantaian blok dilindungi oleh kriptografi — sebuah sistem yang mengekodkan dan menyahkod maklumat untuk komunikasi peribadi melalui rangkaian awam.

Pada awal 1900-an, agensi tentera dan perisikan menggunakan kriptografi, terutamanya semasa perang, yang memerlukan sistem komunikasi rahsia untuk berkongsi maklumat antara pos.

Hari ini, kriptografi memainkan peranan asas dalam industri aset digital. Pelaksanaan projek menggunakan teknik kriptografi untuk menjamin transaksi yang dihantar melalui rangkaian rantaian blok awam dan membolehkan pengguna membuktikan pemilik dana yang sebenar.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kriptografi, baca artikel kami Bagaimana mata wang kripto menggunakan kriptografi?

Lejar teragih

Dibayangkan sebagai alternatif kepada pangkalan data yang dipercayai, lejar teragih bertujuan memberikan pengguna tahap pengawasan yang lebih besar terhadap penyelenggaraan data mereka di samping mengurangkan liabiliti bagi entiti yang pada masa ini mungkin berfungsi sebagai pemilik pusat maklumat sensitif ini. 

Memandangkan impak ini, terdapat pelbagai industri dan organisasi yang menggunakan rantaian blok untuk menubuhkan rangkaian yang dipercayai bagi mempercepatkan perkongsian maklumat dan proses penyimpanan rekod, serta meningkatkan prestasi dan tahap keselamatan. 

Mekanisme konsensus

Sebuah mekanisme konsensus ialah bahagian protokol rantaian blok yang menetapkan persetujuan di antara nod mengenai keadaan lejar dan kesahihan transaksi.

Mekanisme ini memastikan bahawa semua nod dalam rangkaian mematuhi peraturan, mencapai pemahaman bersama tentang keadaan semasa rantaian blok, dan bersetuju tentang transaksi yang perlu ditambahkan ke lejar. Pada dasarnya, ia mekanisme yang membolehkan kepercayaan terdesentralisasi dan mencegah perbelanjaan berganda serta bentuk penipuan lain dalam sistem lejar teragih.

Sejak beberapa tahun, pelbagai jenis mekanisme konsensus yang berbeza telah muncul; setiap satu dengan sistem tersendiri untuk memberi insentif kepada tingkah laku baik dalam kalangan nod dan menghalang aktiviti hasad. Mekanisme yang paling menonjol digunakan oleh majoriti rangkaian rantaian blok yang berfokuskan mata wang kripto ialah bukti kerja dan bukti pegangan.

Apa itu rantaian blok dalam kripto? 🤔

Rantaian blok dalam kripto merujuk kepada teknologi asas yang menggerakkan mata wang kripto seperti Bitcoin, Ethereum dan pelbagai jenis mata wang kripto

Dalam konteks mata wang kripto, rantaian blok berfungsi sebagai asas kepada kewujudan mata wang digital ini. 

Setiap transaksi mata wang kripto direkodkan dalam rantaian blok, dan ia disahkan oleh rangkaian nod bebas yang diagihkan secara global.

Proses ini membantu memastikan bahawa semua transaksi adalah telus, boleh dijejaki dan selamat, dan mencegah isu seperti perbelanjaan berganda atau penipuan.

Gabungan kriptografi dan mekanisme konsensus teragih membolehkan rantaian blok berfungsi secara autonomi, mencipta sistem yang membolehkan pengguna melakukan transaksi secara langsung antara satu sama lain dengan cara yang tidak memerlukan elemen kepercayaan. 

Hasilnya, teknologi rantaian blok menjadi tulang belakang industri mata wang kripto, mendayakan segala-galanya daripada pembayaran perangkai padan yang mudah kepada aplikasi kewangan terdesentralisasi yang kompleks.

Aplikasi dan potensi semasa rantaian blok 💭

Sifat rantaian blok yang sangat selamat dan tidak boleh diubah menjadikannya sistem yang ideal untuk sebahagian besar industri.

Walaupun beberapa industri ini lebih cepat menerima guna manfaat rantaian blok berbanding yang lain, pada hakikatnya, semua pihak sedang meneroka potensi teknologi ini. Dengan menyahpusatkan maklumat dalam kalangan pengguna, teknologi rantaian blok mempunyai potensi untuk mencipta tahap ketelusan yang lebih meluas dalam setiap satu industri ini.

Beberapa contoh perkara yang anda boleh lakukan dengan rantaian blok sudah diketahui umum dan digunakan oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia, sementara contoh rantaian blok yang lain masih dalam fasa pembuktian konsep.

Mata wang kripto terdesentralisasi

Kes penggunaan asal teknologi rantaian blok, dan masih yang paling popular, adalah untuk menggerakkan mata wang kripto.

Sifat perangkai padan dan kalis penapisan rantaian blok membolehkan pembangun mencipta pelbagai jenis projek mata wang kripto yang setiap satu daripada projek tersebut memenuhi pelbagai tujuan yang berbeza. 

Contoh sebenar: Aset kripto seperti Bitcoin (BTC) dan Tether (USDT) membolehkan individu untuk melakukan transaksi secara langsung antara satu sama lain dengan kelajuan hampir serta-merta, tanpa perlu melibatkan perantara dalam proses tersebut.

Pengurusan rantaian bekalan

Jika sesuatu perkara bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, pihak yang terlibat perlu bergantung pada sistem yang berlainan untuk menjejak dan memproses item. Teknologi rantaian blok boleh membantu mengurangkan halangan yang dibentuk oleh sistem yang berlainan ini, menghapuskan kos dan potensi titik kegagalan di sepanjang jalan. 

Contoh sebenar: Rantaian Blok Diuruskan Amazon ialah contoh utama bagi perkhidmatan yang menyediakan syarikat lain dengan alat untuk melaksanakan rangkaian rantaian blok persendirian untuk pengurusan rantaian bekalan.

Rekod penjagaan kesihatan

Rekod penjagaan kesihatan hari ini lazimnya diselenggarakan oleh pusat data berpusat. Situasi ini menambah kos dan risiko kepada entiti yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan rekod tersebut. Maklumat dalam rekod ini mungkin terdedah kepada pelanggaran keselamatan atau sukar untuk dikongsi dengan hospital lain di seluruh dunia. Sesetengah pakar percaya teknologi rantaian blok boleh membantu menjamin keselamatan dan pengesahan rekod, memberikan individu kemampuan untuk mengurus data mereka dengan lebih berautonomi.

Contoh sebenar: MedRec, Ancile dan OmniPHR merupakan beberapa contoh penyelesaian yang memanfaatkan teknologi rantaian blok dalam pengurusan rekod kesihatan elektronik.

Insurans

Syarikat insurans meneroka penggunaan teknologi rantaian blok untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi selama bertahun-tahun. Ramai percaya bahawa sifat terdesentralisasi rantaian blok dan kemampuannya untuk mencipta rekod transaksi yang tidak boleh diubah dapat membantu menangani isu seperti penipuan, pertikaian tuntutan dan tempoh pemprosesan yang perlahan. 

Contoh sebenar: Pada 2023, TradeWaltz melancarkan penyelesaian rantaian blok insurans. Dua daripada penyedia insurans terbesar di Jepun, Sompo dan Tokio Marine, kini menyediakan produk insurans marin menggunakan platform TradeWaltz.

Sektor tenaga

Banyak syarikat turut menyedari potensi infrastruktur berasaskan rantaian blok untuk merevolusikan industri tenaga global. Dengan mendayakan perdagangan tenaga secara perangkai padan dan menyokong integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui, teknologi rantaian blok boleh mengubah cara tenaga dihasilkan, diedarkan dan digunakan.

Contoh sebenar: Lejar Kuasa (POWR) ialah contoh projek mata wang kripto yang menggunakan teknologi rantaian blok untuk mencipta pasaran perdagangan tenaga secara perangkai padan. Projek ini membolehkan pengguna untuk menoken dan memperdagangkan komoditi alam sekitar seperti kredit karbon dan sijil tenaga boleh diperbaharui.

Pengurusan identiti

Pengendalian maklumat peribadi pelanggan memerlukan sistem yang sangat selamat, teguh, serta boleh diakses dan kebal daripada sebarang pengubahsuaian. Rantaian blok berupaya menyokong keperluan ini dengan mengautomasikan pengesahan identiti dan memberikan individu lebih kawalan ke atas maklumat peribadi mereka. 

Contoh sebenar: Forum Ekonomi Dunia menggunakan penyelesaian berasaskan rantaian blok yang dinamakan Identiti Digital Pelancong Dikenali (juga dipanggil KTD) untuk membantu mempercepatkan perjalanan merentasi sempadan dengan mengurangkan keperluan dokumen fizikal.

Pengundian

Dalam masyarakat demokratik, proses pengundian memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya tempatan dan nasional. Beberapa pakar mengesyorkan inovasi teknologi pangkalan data rantaian blok untuk membantu pelaksanaan pilihan raya yang bebas daripada kontroversi.

Contoh sebenar: Follow My Vote dan Voatz ialah penyelesaian pengundian berasaskan rantaian blok yang bertujuan untuk memberikan mekanisme pengundian yang lebih selamat dan dipercayai kepada warganegara A.S.

Pengesahan item

Token tidak sepiawai (NFTs) menunjukkan cara rantaian blok boleh digunakan untuk menjejak dan mengesahkan keaslian dan pemilikan fail digital — sesuatu yang tidak mungkin dilaksanakan sebelum wujudnya teknologi rantaian blok. Sejak itu, syarikat lain bertindak mencipta penyelesaian rantaian blok mereka sendiri untuk menjejak dan mengesahkan keaslian item sebenar.

Contoh sebenar: Aura Blockchain Consortium, Authena dan Seal sedang mengusahakan penyelesaian berasaskan rantaian blok untuk menjamin asal usul item tertentu.

Manfaat teknologi rantaian blok ✅

Dengan penggunaan yang betul, teknologi rantaian blok boleh menjadi pengubah keadaan untuk pelbagai industri di seluruh dunia.

Sebagai contoh, salah satu kelebihan utama menggunakan rantaian blok edaran awam berbanding lejar bank swasta adalah semua nod mengekalkan salinan rekod kewangan masing-masing. Mekanisme ini menghapuskan sebarang titik kegagalan tunggal, membolehkan keseluruhan lejar dipulihkan dari nod tunggal walaupun 99% rangkaian gagal.

Selain itu, rantaian blok direka agar bersifat kebal daripada sebarang pengubahsuaian. Untuk mengubah hanya satu transaksi yang belum diselesaikan memerlukan mendapatkan sekurang-kurangnya 51% kawalan ke atas semua nod dalam rangkaian tertentu. Hal ini akan menjadi amat sukar memandangkan sifat nod yang tersebar di seluruh dunia dan kos sumber yang diperlukan untuk menyerang rangkaian rantaian blok yang sedia ada.

Setelah transaksi disahkan oleh rangkaian, ia akan menjadi kekal dan tidak boleh diubah. Ciri ini mengukuhkan tahap integriti data dan merupakan salah satu sebab rantaian blok dianggap sangat selamat. 

Berikut ialah penelitian mengenai manfaat utama teknologi rantaian blok dan cara ia boleh berfungsi sebagai asas infrastruktur digital moden. 

  • Keselamatan dan ketelusan yang dipertingkatkan: Transaksi dalam rantaian blok tidak boleh ditukar, bermakna transaksi itu tidak boleh diubah atau dipadam, sekali gus menjamin integriti data. Reka bentuk transaksi yang terdesentralisasi dan bersifat kriptografi menjadikan transaksi tersebut sangat kukuh daripada penipuan dan penggodaman. Selain itu, sistem lejar terbuka membolehkan semua peserta melihat dan mengesahkan transaksi, memupuk kepercayaan dan menjadikan pengauditan serta pengesahan mudah dilakukan dan boleh dipercayai.
  • Peningkatan tahap kecekapan dan keberkesanan kos: Rantaian blok mengurangkan kos dan mempercepatkan transaksi dengan membenarkan interaksi langsung antara perangkai padan. Kontrak pintar — perjanjian yang dilaksanakan secara kendiri dan dikodkan ke dalam sistem — mengautomasikan tugas dan membantu mengurangkan kesilapan. Ciri ini menghapuskan keperluan untuk penyimpanan data pusat dan perantara kewangan tradisional, menyumbang kepada perbelanjaan yang lebih rendah dan proses perniagaan yang lebih cekap.
  • Potensi untuk inovasi: Rantaian blok bukan sekadar teknologi statik; ia platform untuk inovasi. Kontrak pintar membolehkan perjanjian automatik tanpa orang tengah, menyumbang kepada pewujudan aplikasi terdesentralisasi (dApps). Kontrak pintar juga membolehkan penciptaan token digital yang mewakili aset dunia nyata, mencipta model perniagaan dan produk kewangan baru.
  • Kebolehcapaian dan kebolehskalaan global: Jangkauan global rantaian blok dan skala yang semakin berkembang ialah kunci kepada impak rantaian blok yang semakin berkembang. Sesiapa sahaja yang mempunyai akses Internet boleh menyertai rangkaian rantaian blok, membolehkan transaksi antarabangsa yang cepat dan kos rendah dilakukan. Tahap kemajuan seperti rantaian blok Lapisan 2 dan Rangkaian Lightning meningkatkan kapasiti rantaian blok tertentu untuk memproses lebih banyak transaksi, sementara sambungan antara rantaian blok yang lebih baik membolehkan transaksi silang rantai dan perkongsian data yang lancar.

Cara melabur dalam rantaian blok 🧑‍💻

Melabur dalam rantaian blok boleh berlaku dalam beberapa bentuk, bergantung kepada tahap toleransi risiko, matlamat kewangan dan pengetahuan anda tentang pasaran.

 Pilihan yang ada untuk mereka yang ingin melabur dalam rantaian blok: 

  • Pertimbangkan untuk membeli mata wang kripto secara langsung menggunakan platform perdagangan kripto yang dipercayai seperti Kraken. Seperti mana-mana strategi pelaburan, lakukan penyelidikan dengan teliti dan hanya labur jumlah yang anda sanggup rugi.
  • Melabur dalam syarikat atau ETF yang menumpukan kepada rantaian blok (seperti ETF Bitcoin) yang memberikan pendedahan lebih meluas kepada industri, termasuk firma yang membangunkan teknologi rantaian blok atau menggunakan teknologi itu dengan cara yang inovatif.

Seperti mana-mana pelaburan, proses penilaian wajar adalah penting. Memahami teknologi dan pasaran mungkin membantu anda membuat keputusan yang lebih baik.

Lihat artikel kami tentang cara melakukan penyelidikan sendiri untuk mendapatkan lebih banyak petua semasa anda bermula dengan kripto.

Jom bermula dengan teknologi rantaian blok 🤝

Kraken memudahkan usaha untuk berhubung dengan pelbagai bahagian ekosistem rantaian blok yang mengubah dunia. Ayuh sertai dunia teknologi rantaian blok yang menarik dengan mendaftar akaun Kraken hari ini.