Apakah itu stablecoin? Penerangan tentang jenis, manfaat dan risiko
Stablecoin ialah mata wang kripto yang mengekalkan nilai tetap, lazimnya dengan menambat nilai koin itu kepada aset seperti dolar AS atau emas.
Berbanding dengan aset kripto lain, stablecoin adalah kurang terdedah kepada turun naik harga dan menawarkan cara yang lebih boleh diramal untuk menyimpan nilai.
Stablecoin yang berbeza menggunakan mekanisme yang berbeza untuk mengekalkan tambatan, termasuk rizab tunai, cagaran kripto atau algoritma.
Stablecoin boleh memberikan manfaat dan kecekapan nyata seperti kadar volatiliti dan yuran transaksi yang lebih rendah, serta akses dan integrasi yang lebih kukuh dengan aplikasi DeFi.
Namun demikian, stablecoin masih mempunyai risikoseperti kesolvenan penerbit dan ketelusan, serta risiko pihak lawan dan kelemahan teknikal yang mungkin wujud terutamanya dalam model algoritma.

Pengenalan kepada stablecoin 🔍
Stablecoin ialah kategori mata wang kripto yang direka untuk mengekalkan nilai yang tetap. Tidak seperti mata wang kripto terkemuka lain seperti Bitcoin (BTC) dan Ethereum (ETH), stablecoin diikat kepada aset seperti dolar A.S. atau emas, yang membantu mengekalkan nilai stablecoin yang boleh diramalkan dalam pasaran kripto yang berubah-ubah.
Tinjauan Stablecoin terkini kami menyorot penerimagunaan meluas aset ini, apabila 88% pemegang kripto A.S. memasukkan stablecoin dalam portfolio mereka. Selain itu, 72% daripada pemegang kripto ini menjangkakan penggunaan stablecoin akan berkembang dalam lima tahun akan datang, dengan 22% mengharapkan perkembangan yang “signifikan”.

Namun, "stabil" tidak bermakna tiada faktor yang perlu dipertimbangkan. Apabila menilai stablecoin, cara stablecoin berfungsi, sokongan di sebalik koin tersebut, dan tahap ketelusan penerbit koin perlu dipertimbangkan. Dalam panduan ini, kami memperincikan jenis-jenis stablecoin yang berbeza, menerangkan fungsi serta kepentingan stablecoin.
Bagaimana stablecoin berfungsi? ⚙️
Semua stablecoin mempunyai satu tujuan: mengikut harga aset lain. Lazimnya, aset ini ialah mata wang fiat seperti dolar A.S. atau euro. Tetapi tidak semua stablecoin mengekalkan harga ini dengan cara yang sama.
Stablecoin seperti Tether (USDT) dan Global Dollar (USDG) menerbitkan audit terhadap aset yang dipegang dalam rizab secara berkala , dan hasil audit ini digunakan untuk menyokong nilai koin dalam edaran. Apabila seorang pengguna menukar mata wang fiat kepada stablecoin, platform berkenaan akan mengeluarkan token stablecoin baru dan menambah koin itu ke dalam edaran. Nilai koin dalam edaran disokong oleh jumlah aset yang setara dengan aset yang diikat oleh koin tersebut, yang disimpan dalam rizab.
Penebusan stablecoin kepada fiat menyebabkan platform berkenaan 'membakar' token tersebut, mengeluarkan token itu dari bekalan. Mekanisme mencetak dan membakar ini mengekalkan kestabilan harga dan memastikan bahawa setiap stablecoin dalam edaran disokong oleh jumlah nilai yang setara yang disimpan dalam rizab.
Mekanisme sokongan ini bertujuan memastikan harga stablecoin kekal sedekat mungkin dengan tambatan yang disasarkan. Namun, kestabilan bukanlah satu jaminan. Jika orang ramai membeli atau menjual stablecoin beramai-ramai, harga koin boleh beralih dari tambatan koin dan mendedahkan pemegang koin kepada kerugian.

Ramai pedagang menganggap stablecoin sebagai jalan tengah yang berguna dalam kripto. Kestabilan relatif harga stablecoin menjadikan koin ini alat praktikal untuk menyimpan nilai antara perdagangan, terutamanya semasa keadaan pasaran yang tidak menentu.
Para pedagang lazimnya beralih kepada stablecoin, berbanding bertindak mengeluarkan dana sepenuhnya dan menukarkan dana itu kembali kepada mata wang fiat. Langkah ini membolehkan mereka untuk terus menyimpan koin mereka dalam ekosistem kripto, di samping mengurangkan pendedahan risiko kepada turun naik harga.
Stablecoin juga boleh menghubungkan kewangan tradisional dan kewangan terdesentralisasi (DeFi) dengan membenarkan pengguna memindahkan nilai setara fiat ke dalam ekosistem kripto tanpa mengorbankan kestabilan mata wang yang mereka sudah kenali. Ciri ini memudahkan akses kepada protokol DeFi untuk memberi pinjaman, meminjam atau berdagang tanpa bergantung kepada bank tradisional.

Namun, tidak semua stablecoin beroperasi dengan cara yang sama. Berikut ialah pandangan lebih dekat mengenai jenis-jenis stablecoin utama dan mekanisme yang digunakan untuk mengekalkan nilai stablecoin berkenaan.
Jenis-jenis stablecoin 🧬
Walaupun semua stablecoin bertujuan untuk menjejaki nilai aset lain, cara setiap stablecoin mengekalkan tambatan boleh jadi sangat berbeza. Sesetengah stablecoin bergantung kepada aset tradisional yang disimpan dalam rizab, sementara yang lain menggunakan cagaran kripto atau mekanisme beralgoritma.
Perbezaan ini mempengaruhi cara setiap stablecoin bertindak balas terhadap keadaan pasaran, permintaan pengguna dan perubahan dalam landskap kewangan yang lebih luas.
Di bawah ialah gambaran keseluruhan jenis-jenis stablecoin yang paling lazim dan elemen di sebalik tambatan tersebut.

Stablecoin yang dicagar dengan tunai
Stablecoin yang dicagar kepada tunai ialah mata wang kripto yang mengekalkan nilai koin tersebut dengan menyimpan rizab mata wang yang dikeluarkan oleh kerajaan (seperti USD atau EUR). Langkah ini turut merangkumi "setara tunai" — lazimnya hutang kerajaan jangka pendek seperti bil Perbendaharaan.
Perbendaharaan ialah instrumen hutang yang dikeluarkan oleh kerajaan dan disokong oleh kredit daripada kerajaan. Penerbit stablecoin lazimnya menyimpan aset ini dengan institusi kewangan tradisional, seperti bank atau penjaga yang layak.
Untuk mengekalkan harga yang stabil, penerbit stablecoin ini akan memegang rizab yang setara nilainya dengan token yang berada dalam edaran, dan rizab dipegang dalam mata wang yang sama yang ingin dijejaki oleh token. Apabila pengguna mendepositkan fiat untuk membeli token ini, token baharu akan diterbitkan. Sebaliknya, apabila pengguna menebus token untuk fiat, penerbit membakar token dan mengeluarkan token itu dari edaran. Mekanisme ini membantu mengekalkan bekalan selaras dengan permintaan. Maka, harga stablecoin selaras dengan nilai aset asas yang dijejaki oleh stablecoin itu sendiri.
Model ini mendapat perhatian pada 2014 dengan pelancaran USDT oleh Tether Limited. USDT direka untuk menjejaki dolar A.S. dan diperdagangkan di pasaran kripto pada sepanjang masa. Tether kekal sebagai stablecoin terbesar berdasarkan modal pasaran dan Tether juga mengeluarkan EURT, yang menjejaki euro.

Lazimnya, terdapat entiti pusat yang menguruskan stablecoin ini dengan mengawal aktiviti penerbitan dan penebusan. Dalam banyak kes, firma pihak ketiga mengaudit rizab mereka untuk mengesahkan bahawa ia sepadan dengan bekalan token — satu lapisan ketelusan tambahan yang dapat membina kepercayaan pengguna.
Selepas Tether, USD Coin (USDC) ialah projek stablecoin kedua terbesar dari segi modal pasaran yang dicagar dengan tunai. Selepas muncul di rantaian blok Ethereum pada 2018, USD Coin berkembang untuk menyokong pelbagai ekosistem rantaian blok terkemuka secara natif, termasuk Algorand (ALGO), Polkadot (DOT), Solana (SOL), Stellar (XLM) dan Tron (TRX).
Stablecoin yang dicagar dengan kripto
Stablecoin yang dicagar dengan kripto menggunakan satu atau lebih mata wang kripto sebagai cagaran.
Tidak seperti stablecoin yang dicagar dengan tunai, aset ini lazimnya tiada pentadbir pusat. Sebaliknya, stablecoin ini bergantung pada kontrak pintar dan perisian sumber terbuka untuk membolehkan peminjam mengunci aset kripto (dengan itu menjadikannya cagaran) dan menghasilkan stablecoin baharu dalam bentuk pinjaman.
Bagi mengambil kira turun naik mata wang kripto asas tersebut, stablecoin ini lazimnya dicagarkan secara berlebihan. Hal ini bermakna nilai mata wang kripto yang menyokong stablecoin adalah lebih besar daripada nilai stablecoin yang berada dalam edaran.
Jika peminjam ingin menebus mata wang kripto yang dikunci, mereka perlu mengembalikan stablecoin kepada protokol, ditolak sebarang yuran gas rantaian blok yang berkaitan.

Disebabkan reka bentuk rangkaian, individu tunggal pada rangkaian tidak dapat mengubah bekalan stablecoin. Sebaliknya, kontrak pintar diprogram untuk bertindak balas terhadap perubahan dalam harga pasaran aset yang dikunci.
Walaupun terdapat beberapa stablecoin yang dicagar dengan kripto, stablecoin terkemuka yang dijamin kripto dalam pasaran hari ini ialah token DAI MakerDAO.
Stablecoin beralgoritma
Stablecoin beralgoritma ialah aset digital yang bergantung pada kontrak pintar untuk mengekalkan tambatan harga. Beberapa stablecoin beralgoritma juga menggunakan token asli sekunder untuk membantu mengatur kestabilan harga.
Beberapa stablecoin beralgoritma, yang dikenali sebagai token rebase, menyesuaikan bekalan dalam edaran secara automatik untuk mengekalkan harga aset yang mereka sasarkan, seperti dolar AS.
Jika harga meningkat melebihi harga yang disasarkan, algoritma secara automatik mencetak token baru dan mengedarkan token itu kepada pemegang sedia ada. Pencairan ini dapat membantu mengurangkan harga token agar kembali selari dengan harga aset asas. Sebaliknya, jika harga stablecoin algoritma jatuh di bawah harga aset yang disasarkan, algoritma tersebut akan membakar token dalam edaran sehingga harga kembali selari.
Jenis stablecoin beralgoritma lain bergantung pada token sekunder dengan harga pasaran terapung. Pemegang boleh menukar kedua-duanya pada kadar tetap, mencipta peluang arbitraj yang memberi insentif untuk membeli atau membakar stablecoin apabila harga menyimpang daripada tambatan.

Sebagai contoh, stablecoin yang direka untuk kekal pada $1. Jika harga meningkat kepada $1.05, pedagang boleh menggunakan kontrak pintar atau mekanisme algoritma untuk mencipta stablecoin baru untuk token sekunder bernilai $1 sahaja. Pedagang kemudian boleh menjual koin tersebut dengan harga $1.05 di pasaran terbuka dan menyimpan keuntungan sebanyak $0.05. Bekalan tambahan ini membantu menurunkan harga kembali kepada $1.
Jika harga jatuh kepada $0.95, pemegang boleh membakar satu stablecoin menggunakan kontrak pintar dan menerima token sekunder bernilai $1 sebagai balasan. Keuntungan kecil itu menjadi alasan untuk mengeluarkan koin dari edaran, membantu mengurangkan bekalan dan mendorong harga agar kembali naik.
Walau bagaimanapun, berdasarkan sejarah, jenis stablecoin ini ialah yang paling berisiko kerana kelemahan koin ini terhadap manipulasi dan serangan.
Pada 2022, Terra Luna, salah satu projek stablecoin beralgoritma terbesar pada masa itu, runtuh dalam beberapa hari sahaja. Dikenali sebagai “death spiral,” ia bermula apabila pelabur mula menjual sejumlah besar stablecoin beralgoritma platform tersebut, TerraUSD (UST), dalam pasaran.
Tindakan ini menyebabkan UST kehilangan tambatan kepada dolar AS, yang mencetuskan pelbagai isu lain kepada projek tersebut. Apabila semuanya reda, projek ini berubah daripada nilai pemodalan pasaran sekitar $60 bilion kepada hampir sifar.

Langgan Ikhtisar Kraken
Kekal selangkah di hadapan dengan cerapan, trend dan strategi untuk membina portfolio kripto anda.

Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Terma Perkhidmatan dan Dasar Privasi kami.
Apakah manfaat stablecoin? ✅
Stablecoin menawarkan pelbagai manfaat untuk pemegang kripto, terutamanya mereka yang ingin mengurangkan pendedahan mereka kepada aset yang lebih tidak stabil. Stablecoin juga mempunyai potensi untuk memberikan beberapa kelebihan yang menambah baik pengalaman pengguna kripto secara keseluruhan.
Berikut adalah beberapa manfaat utama stablecoin:
- Kurang pendedahan kepada ketaktentuan: Oleh kerana stablecoin adalah untuk mengekalkan nilai yang konsisten, maka stablecoin menjadi pilihan yang lebih dipercayai untuk menyimpan nilai tanpa turun naik harga mata wang kripto yang lebih tidak menentu seperti memecoins.
- Transaksi tanpa sempadan: Sama seperti mata wang kripto lain, anda boleh menghantar dan menerima stablecoin secara global tanpa perantara atau yuran yang mahal, menjadikan transaksi merentasi sempadan lebih cepat dan lebih berpatutan.
- Boleh diprogram dan fleksibel: Stablecoin boleh digunakan dalam kontrak pintar, mendayakan pelbagai aplikasi terdesentralisasi (dApps) dalam DeFi, peminjaman dan ekosistem berasaskan rantaian blok yang lain.
- Yuran transaksi rendah: Berbanding dengan sistem kewangan tradisional, penghantaran stablecoin lazimnya dikenakan yuran transaksi yang jauh lebih rendah, menjadikan stablecoin pilihan menarik untuk pemindahan dana dengan kos minimum.
- Cair dan mudah ditukar: Pengguna boleh memindahkan stablecoin yang disokong seperti DAI dan USDT ke dalam akaun mereka dengan pantas, dan menukar stablecoin kepada mata wang kripto lain atau mata wang fiat dengan mudah. Kecairan ini ialah kunci bagi pedagang kripto yang ingin beralih antara aset dengan kelewatan yang minimum.
Apakah kelemahan stablecoin? ❌
Walaupun stablecoin direka bentuk berorientasikan kestabilan, stablecoin itu sendiri tidak bersifat bebas risiko. Pelabur perlu menilai risiko dengan teliti sebelum melabur atau menggunakan stablecoin semasa membangunkan strategi kripto mereka.
Berikut adalah beberapa risiko utama yang dikaitkan dengan stablecoin:
- Persekitaran kawal selia yang baharu: Sebagai revolusi kewangan yang inovatif dan sentiasa berubah, aspek kawal selia stablecoin juga sentiasa berkembang di hampir setiap bidang kuasa di seluruh dunia. Perubahan dalam aspek kawal selia stablecoin mempengaruhi cara stablecoin digunakan, diperdagangkan dan diakses pada setiap hari oleh semua orang dari pelabur harian hingga institusi kewangan terbesar di dunia.
- Risiko penerbit: Penerbit stablecoin mungkin menghadapi cabaran dalam bentuk ketidakpastian tentang aspek kawal selia atau undang-undang, muflis atau menghadapi isu operasi dan isu lain yang menyebabkan penyahtambatan atau kemerosotan nilai token. Mereka juga mungkin menghadapi isu operasi atau kewangan yang menyebabkan mereka tidak mampu membenarkan token ditebus untuk sebarang cagaran asas.
- Risiko pihak lain: Aset yang menjadi cagaran token mungkin dipegang oleh institusi kewangan atau pihak ketiga lain yang berpotensi muflis, digodam, menjadi subjek prosiding undang-undang atau menghadapi kegagalan lain, yang boleh mengakibatkan kehilangan cagaran yang berkaitan dengan token.
- Risiko operasi dan teknikal: Stablecoin beralgoritma mungkin mengalami kegagalan, gangguan pepijat, eksploitasi atau isu lain yang boleh menyebabkan algoritma gagal.

Terokai stablecoin di Kraken
Walaupun stablecoin mempunyai risiko tersendiri, ramai menganggap stablecoin sebagai aset praktikal yang terus menarik minat pemegang kripto di seluruh dunia.
Meneroka cara untuk beralih antara kewangan tradisional dan digital? Kraken menyokong pelbagai jenis stablecoin, termasuk USDG dan DAI, jadi anda boleh bermula dengan yakin.
Cipta akaun Kraken anda hari ini dan lihat bagaimana stablecoin mungkin sesuai dengan strategi kripto anda yang lebih meluas.
Walaupun istilah “stablecoin” sering digunakan, tiada jaminan bahawa aset akan mengekalkan nilai stabil berbanding nilai aset rujukan apabila didagangkan di pasaran sekunder, atau bahawa rizab aset, jika ada, mencukupi untuk memenuhi semua penebusan.